• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Strategi Dakwah Perlu Dipelbagaikan

DUNGUN, 29 September- Strategi berdakwah kepada golongan bukan Islam perlu dipelbagaikan supaya ianya dapat diterima baik oleh mereka.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pendekatan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah perlu dicontohi.

"Kerana itu sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah berdakwah melalui kata-kata dan juga akhlak, dimana kita ini sebagai orang muslim kena tunjukkan kepada mereka dahulu agar dilihat seiring dengan prinsip agama itu sendiri yang membentuk jati diri serta keperibadian yang unggul.

"Ziarah menziarahi, mengambil cakna serta melakukan kebajikan kepada mereka amat perlu agar mereka tersentuh hati melihat Islam itu sangat menganjurkan umatnya agar melakukan kebaikan bukan hanya sesama sendiri tetapi kepada seluruh umat manusia, kerana Islam tidak mengajar akan umatnya bersikap perkauman," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program menziarahi kaum Tioung Hua di Kampung Jerangau, semalam.

Katanya, sebagai umat Islam menyampaikan mesej mengenai Islam menjadi tanggungjawab setiap muslim namun samada ianya berjaya atau tidak itu Allah yang tentukan.

"Tugas kita cuma menyampaikan, yang mengurniakan hidayah adalah Allah SWT. Kerana itu perlunya kepada strategi dengan cara berhikmah dan perlu menyampaikan tanggungjawab berkenaan dengan penuh kasih sayang sesama umat," ujarnya.

Hasil daripada ziarah berkenaan katanya, hampir keseluruhan kaum Tionghua yang diziarahi didalam DUN Bukit Besi mengatakan selesa tinggal bersama muslim.

"Malah telah membentuk kejiranan yang baik, mereka juga tersentuh hati dengan masyarakat kampung yang baik, serta ada diantara ahli keluarga mereka telahpun memeluk Islam cuma yang mereka perlukan adalah sedikit masa, kita sebagai pendakwah perlulah memberikan mereka penerangan sedikit demi sedikit, serta meleraikan kekusutan yang mereka hadapi serta salah faham mereka terhadap agama Islam," ujarnya.


Tag: