• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

‘Street Dakwah’ Ajak Masyarakat Hidupkan Solat Jemaah

HULU TERENGGANU,15 Mac - Dengan menjadikan persimpangan lampu isyarat laluan utama, Street Dakwah Dewan Pemuda Pas Hulu Terengganu (DPPHT) berjaya mengedar risalah kepada pengguna jalan raya dalam mempromosikan kempen Jom Solat Berjemaah dalam usaha merancakkan lagi program Bulan Penghayatan Ibadat Solat peringkat negeri Kerajaan Negeri Terengganu di Kuala Berang, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program kali ini yang dianjurkan dihadapan Majlis Daerah Hulu Terengganu., Kuala Berang secara santai dan terbuka mendapat sambutan luar biasa.


“Objektif untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bentuk santai dan bersahaja tercapai apabila rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui menyambut baik kaedah berkenaan bersesuaian dan ia perlu diketengahkan lagi.

“Lebih bermakna apabila kita juga berjaya mengedarkan risalah “ Jom Solat Berjemaah” dengan gabungan orang lama dan ramai golongan muda yang turut serta dalam program yang bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari, semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah ‘Jom Solat Berjemaah’ di Dataran MDHT Kuala Berang di sini semalam.


Menurutnya, program sebegini sudah banyak dilakukan di luar negara dan mengapa kurang pendekatan berkenaan digunakan sebagai medium dakwah tempatan.

“Saya berharap Street Dakwah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak dibahu pihak berkuasa terutama Kerajaan negeri semata-mata.

“Sebaliknya, setiap individu Muslim itu sendiri berperanan dan bertanggungjawab menyampaikan dakwah dengan pelbagai medium mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jawatankuasa penganjur Street Dakwah, Ketua DPPHT, Mohd Harun Esa berkata, program ini adalah bertujuan untuk memberi peringatan betapa besar dan pentingnya penjagaan solat secara berjemaah.

"Walaupun kita masih lagi dilanda wabak COVID19, namun ianya bukanlah alasan untuk tidak melakukan solat berjemaah dengan mengambil kira SOP.


“Berhadapan dengan cuaca panas sejak awal lagi, ia tidak menghalang para peserta untuk terus mengedarkan risalah ‘Jom Solat Berjemaah ‘ di persimpangan lampu isyarat hadapan MDHT Kuala Berang .malah mereka tidak berganjak sehingga risalah habis diedarkan kepada pengguna jalan raya,” katanya.