• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Street Dakwah' Medium Bertemu Rakyat.

KEMAMAN, 31 Mac - 'Street Dakwah' yang diperkenalkan oleh Kerajaan Terengganu melalui agensi Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) merupakan salah satu kaedah untuk menyantuni masyarakat secara langsung. 

Pengarah Program Street Dakwah Ramadhan Di Hati Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal 2023, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata, program kali ketiga yang dianjurkan di Bazar Ramadan Seri Bandi mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. 

“Objektif untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bentuk santai dan bersahaja tercapai apabila rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan kaedah berkenaan bersesuaian dan perlu diketengahkan lagi.

“Lebih bermakna kita juga berjaya menarik lebih ramai golongan muda dan tua untuk turut serta dalam program yang bermula jam 5.30 petang sehingga 6.30 petang,” katanya.

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh turut hadir memeriahkan suasana. 

Menurutnya yang juga selaku Pegawai DUAT DUN Kijal, program sebegini sudah banyak dilakukan di luar negara dan mengapa tidak pendekatan berkenaan digunakan sebagai medium dakwah untuk penduduk tempatan.

“Kami berharap 'Street Dakwah' ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak dibahu pihak berkuasa semata-mata.

“Sebaliknya, setiap individu muslim itu sendiri berperanan dan bertanggungjawab menyampaikan risalah dakwah dengan pelbagai medium mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jawatankuasa penganjur 'Street Dakwah', Abdul Halimi berkata, walaupun panas terik sejak awal lagi, ia tidak menghalang pengunjung untuk terus datang ke Bazar Ramadan Kampung Seri Bandi.

Bazar Ramadan Kampung Sungai Ibok, Seri Bandi. 

“Saya lihat dengan kehadiran pengunjung yang ramai hari ini, program seumpama ini boleh dipelbagaikan lagi bagi menarik minat anak muda untuk terlibat didalam aktiviti yang baik sebegini. 

"Kerana ia jelas membuktikan pendekatan dakwah secara santai dan bersahaja semakin diminati,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Ibok, Seri Bandi semalam.

Program yang dianjurkan oleh DUAT DUN Kijal ini turut melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, JPKK setempat, Pemuda, Ameerah dan Sahabat DUAT Kijal. 

Sebelum ini ia telah diadakan di dua lokasi yang berasingan iaitu di Kampung Bukit Kuang dan Kampung Meraga Beris dengan mengedarkan risalah dakwah Islam dan kejayaan yang dilakukan oleh kerajaan negeri beserta juadah untuk mereka berbuka puasa.


Tag: