• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Suara Hati Bukan Tumpu Kaum Wanita Sahaja

KEMAMAN, 15 Februari – Suara Hati Wanita bukanlah tertumpu kepada kaum wanita sahaja, lelaki termasuk pemimpin setempat juga diseru agar mengambil tahu informasi dan maklumat berkenaan hak wanita juga.

Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din berkata, program ini  memberi pendedahan dan garis panduan berkenaan permasalahan berlaku mengikut saluran yang tepat.

“Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berhasrat untuk menjadi agen penerangan dan pemudahcara kepada wanita Terengganu untuk memahami hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita serta mendedahkan saluran betul.

“Ia satu program diadakan untuk menerangkan ilmu kepada kaum kaum wanita terutamanya wanita yang teraniaya dalam konteks perundangan dan hak-hak wanita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Suara Hati Wanita di Dewan Seri Amar, Kemaman, baru-baru ini.

Katanya, Kemaman menjadi pilihan pertama bagi program siri pertama kerana berdasarkan statistik kadar jenayah lalu menunjukkan bahawa daerah ini mempunyai purata kadar jenayah terhadap wanita yang tinggi, iaitu jenayah rogol.

Beliau menambah lagi, masih ramai sebenarnya yang belum tahu mengenai saluran-saluran yang boleh dicapai sekiranya ingin menuntut hak kita sebagai seorang wanita teraniaya.

“Kesedaran wanita berkaitan hak wanita dalam undang-undang ini amat penting agar wanita bukanlah objek yang sentiasa disakiti dan menjadi mangsa. 

“Bukan sahaja isu permasalahan tentang keluarga, tetapi juga termasuk isu mental, terjejasnya masalah ekonomi, kesihatan dan juga berlaku masalah cerai. 

“Dalam hal ini, secara tidak langsung kebanyakan golongan wanita sering ditindas dan hilang tempat pergantungan mengakibatkan kepada masalah-masalah sosial yang lain,” ujar Sakinah.

Justeru itu, beliau berharap agar program sebegini dapat diperluaskan lagi sebaran  bagi masyarakat tak kira lelaki dan wanita mendapat maklumat serta  apa-apa masalah dapat diselesaikan dengan cara yang betul tanpa sebarang diskriminasi jantina.