• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Suara Hati Wanita: Banyak Ilmu Pengetahuan Kunci Penyelesaian Konflik

KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Ilmu pengetahuan dan kefahaman mendalam dalam pelbagai aspek kehidupan dapat menyelesaikan pelbagai perkara dihadapi oleh kaum hawa di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Alias Harun berkata, agama Islam meletakkan wanita di satu tempat yang sangat istimewa.

“Penglibatan semua pihak samada pihak kerajaan ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita mestilah diperkuatkan,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Suara Hati Wanita Bangkit Dari Sakit, I Am Ok! yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam.

Menurutnya, program suara hati wanita sangat baik untuk rakyat Terengganu bagi menimba pendidikan dari pelbagai sudut pengetahuan.

“Ini selaras dengan matlamat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga Dan Perpaduan Nasional yang merupakan sebuah jawatankuasa berfokuskan kepada memperkukuhkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasakan wanita bagi mencapai kesejahteraan bersama.

“Di samping itu, ia menjamin hak dan kesejahteraan kanak kanak, serta meningkatkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk sistem sokongan yang berkesan dan menyeluruh,” ujar beliau.

Alias menambah, kaum hawa merupakan sebahagian daripada agenda sumber manusia yang tidak pernah diketepikan.

“Wanita Terengganu pada hari ini sangat bertuah kerana banyak kelebihan serta insentif yang sediakan dari awal kelahiran sehingga umur warga emas.

“Banyak juga manifesto kerajaan negeri Terengganu yang diterajui oleh parti PAS yang telah direalisasikan khas untuk wanita.

“Antaranya, sumbangan biasiswa Yayasan, biasiswa kepada pelajar, program kahwin perdana, insentif untuk ibu tunggal, 'honeymoon' kali ke dua, program pap-smear, wad kelas ketiga percuma dan banyak lagi. Semua untuk kebajikan rakyat Terengganu,” tambah Alias lagi.