• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Sukan Kukuhkan Perpaduan Dan Jati Diri



Oleh: Mustaqim Afandi

BESUT, 4 Ogos- Penganjuran aktiviti kesukanan seperti kejohanan bola sepak dan sebagainya mampu menjadi platform dalam memupuk jati diri dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata,  program seperti ini adalah satu wadah bagi menyatukan semangat kesukanan dan kerjasama antara penduduk setempat bagi melahirkan keharmonian dikalangan mereka yang terlibat.

"Insya-Allah selepas ini kita akan mempelbagaikan lagi program diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengerat ukhwah dikawasan kita ini, semoga ia menjadi pemangkin semangat untuk kita berjuang bersama-sama.

“Terima kasih diucapkan kepada semua penduduk yang hadir bagi memeriahkan lagi program dan tahniah kepada semua yang berjaya membawa pulang hadiah hasil daripada pertandingan pada kali ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Adun Kota Putera 2019, semalam.

Perlawanan persahabatan ini dimeriahkan lagi apabila Mohd Nurkhuzaini sendiri turun padang untuk beraksi bersama melawan pasukan Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut dan rata-rata tetamu yang hadir teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh wakil rakyat mereka.

Selain itu, tiga lagi program turut dipertandingkan pada hari yang sama iaitu timbang bola sepak lima sepasukan, sepakan penalti kumpulan dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak yang hadir.


Tag: