• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sukarelawan DUN Telemong Siap Siaga Hadapi Banjir

HULU TERENGGANU, 25 November - Sukarelawan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dalam keadaan bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir di daerah itu.

Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, dengan kerjasama pelbagai pihak diantaranya Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Pemuda PAS, Ameerah dan badan bukan kerajaan (NGO) sekitar DUN Telemong, para sukarelawan bersedia untuk digerakkan ke lokasi terjejas banjir bagi membantu mangsa jika berlakunya bencana tersebut.

"Sukarelawan banjir peringkat DUN Telemong kini dalam mod bersiap siaga dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi terbabit serta menyampaikan bantuan yang perlu kepada mangsa terlibat.

“Persediaan ini penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana seperti banjir di kawasan kita.

“Sebagai sebuah angensi kerajaan, kita mendapat kerjasama baik daripada beberapa NGO dan pelbagai pihak yang sanggup berkorban tenaga menghulurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia dan Sukarelawan Banjir Peringkat DUN Telemong, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, Terengganu diantara negeri yang diramal bakal menghadapi ancaman banjir besar.

"Di DUN kita terdapat beberapa kawasan yang kebiasaan dilanda banjir terutamanya di Mukim Hulu Telemong dan sebahagian kampung di Mukim Tersat.

"Kita di Peringkat Pusat Khidmat Masyarakat DUN sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan," ujarnya.

 

Dalam majlis tersebut, Mohd Safari turut merasmikan bot dan kelengkapan untuk kegunaan dalam operasi banjir.