• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sukarelawan Jabatan Amal Terima Anugerah Wira Perdana

KUALA NERUS, 10 Disember – Atas jasa kesukarelawanan, Bekas Pengarah Jabatan Amal Negeri Terengganu, Sauji Abd Rasid diumumkan sebagai penerima Anugerah Wira Perdana sempena Sambutan Hari Sukarelawan Peringkat Negeri Terengganu 2021.

Beliau telah bergiat aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Amilin Amal Terengganu dan sebagai sukarelawan Yayasan Amal serta telah menabur bakti di dalam misi kemanusiaan dalam dan luar negara.

“Boleh dikatakan saya hidup mati dengan Jabatan Amal, walaupun tidak mampu menolong dari segi kewangan, namun kami infaqkan tubuh dan tenaga bagi membantu masyarakat.

“Alhamdulillah, bila dapat anugerah ini saya bersyukur, sebelum ini kerja kebajikan saya tidak meminta sebarang balasan dan biar Allah menilai, tapi terus doakan kami agar terus istiqamah berbakti kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Sukarelawan Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Raia Hotel, malam semalam.

Sementara itu, penerima Anugerah Wirawati Perdana, Azizah Mahmood yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai anugerah daripada Allah agar terus meningkatkan semangat sukarelawan dalam meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Perasaan saya amat terkejut dan rasa memang tidak layak terima, tapi mungkin ini adalah hasil melibatkan diri dalam misi kemanusiaan di Indonesia, Bangladesh, Brunei dan lain-lain lagi.

“Sejak daripada bangku sekolah lagi saya telah terlibat dengan pelbagai persatuan, jiwa memang tidak boleh lari dan akan dibawa sampai tua, mudah-mudahan saya terus menabur bakti kepada masyarakat,” katanya yang mewakili NGO Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI).

Kedua-dua penerima berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 serta plak penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sambutan tersebut diadakan bersempena Hari Sukarelawan Sedunia bagi meraikan sukarelawan dan NGO dalam pelbagai segmen daripada alam sekitar sehingga kebajikan.

“Hasrat kita untuk meningkatkan lagi semangat mereka dalam membuat kerja kebaikan.

“Perancangan tahun depan agar acara tahunan ini dapat diadakan dengan lebih banyak kategori,” jelasnya.

Untuk rekod, antara kategori lain dipertandingkan seperti Anugerah Bakti Perdana serta Pertandingan Video Sukarelawan pelbagai segmen.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.