• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SUKMA 2022: Terengganu Sasar 57 Pingat Emas

KUALA NERUS, 12 September - Terengganu menyasarkan kutipan 57 pingat Emas, 25 Perak dan 40 Gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur yang bermula pada 16 hingga 24 September ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata sasaran itu dijangka diperoleh daripada 31 acara sukan yang dipertandingkan.
 
Katanya, acara sukan berbasikal, pelayaran, judo dan kanu bakal menjadi sandaran utama bagi kontinjen Terengganu untuk meraih pingat.
 
“Setelah menjalani tempoh persediaan selama hampir empat tahun, saya yakin semua atlet sudah tidak sabar untuk bertanding pada kejohanan SUKMA nanti.
 
“Kontinjen negeri pada kali ini akan membawa misi mengekalkan kembali kejuaraan yang telah dimenangi pada SUKMA 2018 dengan tagline '2022 Victory Mission'," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Terengganu kepada Kontinjen SUKMA XX, MSN 2022 bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Terengganu yang juga merupakan 'chef de mission' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.
 
Tambahnya, pelbagai kemudahan disediakan kepada para atlet bermula daripada elaun latihan bulanan, inisiatif kebajikan sehinggalah kepada pembinaan asrama atlet yang bernilai hampir RM100 juta.
 
“Diharapkan semua atlet mendapat latihan, fasiliti dan kemudahan penginapan yang selesa serta mampu memberi kesan besar terhadap perancangan latihan yang berkualiti.
 
"Pelaburan pembangunan sukan di negeri ini telah membuahkan hasil apabila bidang sukan khususnya dalam Kejohanan SUKMA berada pada tahap serta reputasi yang cemerlang," katanya.

 

 
 
 

Tag: