• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SUKMA 2022 : Terengganu Sasar Satu Emas Karate

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara karate pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada 6 hingga 24 September ini di Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata berdasarkan prestasi semasa sasaran satu pingat emas mampu untuk dicapai.

Katanya, jika berjaya meraih lebih pingat emas, itu menjadi bonus kepada pasukan dan kontinjen negeri.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pasukan karate ini melalui sedikit pembiayaan serta peruntukan bagi memastikan para atlet pergi dengan penuh semangat dan membawa pulang manfaat kepada diri sendiri dan untuk negeri.

“Kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak RM 5,000 sementara Yayasan Terengganu juga tidak ketinggalan memberi sumbangan kepada pasukan karate negeri dalam bentuk barangan keperluan atlet,” jelas bapa angkat skuad karate Terengganu.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Temu Mesra Bersama Pasukan Karate Terengganu Sukma 2022 bertempat di Hotel Paya Bunga (PB) baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham. 

Tambah Hanafiah, pasukan karate Terengganu terdiri daripada tujuh atlet lelaki dan empat atlet wanita diketuai oleh Shamsiah Mokhtar sebagai Pengurus Pasukan.

Katanya, para atlet kini sedang giat menjalani latihan di Dewan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan bakal menyertai 13 acara daripada 16 acara yang dipertandingkan di SUKMA nanti.

“Harapan dan hasrat kami agar seluruh warga negeri Terengganu dari semua peringkat dan golongan bersama-sama mendoakan kejayaan pasukan dan Kontinjen negeri Terengganu yang akan bertanding di SUKMA nanti," katanya.

 


Tag: