• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Cemar Duli Rasmi Loji Janakuasa Biogas Kemaman

KEMAMAN, 29 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Loji Janakuasa Biogas melalui usahasama di antara TDM Berhad dan Concord Group di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Majlis yang diadakan di Loji Janakuasa Biogas TDM, Kemaman itu bermula pada jam 10.30 pagi dihadiri lebih 500 orang tetamu yang terdiri daripada agensi-agensi, penjawat awam, polis, tentera dan sebagainya.

Dr Samsuri berkata, Malaysia menyasar untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu atau renewable energy kepada 31 peratus menjelang 2025 selain turut komited mencapai neutral karbon menjelang 2050. 

Justeru, Kerajaan Negeri memandang positif projek usahasama antara TDM dan Concord Group bagi penghasilan biogas dan penjanaan kuasa elektrik ini.

"Projek ini mampu memberikan manfaat ekonomi kepada rakyat dan Negeri Terengganu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmikan Loji Janakuasa Biogas semalam.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, TDM juga dalam usaha menghijaukan operasi perniagaannya dengan menjadi perintis dalam industri janakuasa biogas di Terengganu. 

“Pembinaan Loji Biogas ini merupakan salah satu strategi TDM bagi mengoptimumkan pengurusan rawatan efluen kilang sawit, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

"Iaitu yang terhasil daripada sistem rawatan effluen kilang sawit sekaligus mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dalam menuju ke arah memacu pembangunan mampan. 

“Pelaksanaan inisiatif berdasarkan teknologi hijau ini akan dapat memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan," ujarnya.

Di samping, meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjamin bekalan tenaga negara yang mampan pada masa hadapan.

 


Tag: