KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berharap semua wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15, dapat melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas untuk membela nasib rakyat.
Baginda juga yakin semua wakil rakyat yang dipilih mampu menggalas tugas menjaga kebajikan rakyat pelbagai kaum tanpa mengira parti.
“Ia merupakan suatu amanah yang perlu dipikul untuk berkhidmat, berbakti dan membela nasib rakyat Beta.
“Marilah kita bersama berlapang dada dengan hati yang terbuka untuk menerima dan menghormati keputusan pilihanraya ini,” titah Sultan Mizan.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam masa sama, Sultan Mizan menyeru semua wakil rakyat yang terpilih agar tidak bersikap menilik balas dan menanti pujian.
“Jagalah nama baik dan kehormatan dewan yang mulia ini dengan melaksanakan khidmat bakti yang tulus ikhlas sebagai wakil rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat Beta dan masa depan negeri ini di dalam hati dan minda Ahli-ahli Yang Berhormat,” titah Baginda.
Dalam pada itu, Sultan Mizan menitahkan kerajaan negeri agar menggiatkan lagi inisiatif bagi membantu golongan miskin tegar agar mereka ini keluar dari kitaran kemiskinan.
Baginda bertitah, seramai 6,330 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di negeri ini.