• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Lancar Buku Sejarah Dan Perkembangan DUN Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melancarkan buku bertajuk Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani.

Hadir sama, Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen serta Ketua-Ketua Jabatan.

Menurut Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri,  Dato' Yahaya Ali, buku yang dilancarkan oleh baginda Sultan itu sangat besar nilainya baik dari segi sejarah, mahupun nilai estetikanya bagi negeri Terengganu.

“Ia adalah buku kedua diterbitkan oleh DUN setelah buku pertama bertajuk 'Pemantapan DUN - Perkembangan Dan Masa Depan' dilancarkan kira-kira dua tahun lalu.

“Buku ini merupakan himpunan sejarah perkembangan badan legislatif Negeri Terengganu sejak pertama kali diwujudkan secara rasmi pada tahun 1959 iaitu sebaik selesai Pilihan Raya DUN kali pertama selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957,” ujarnya ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Primula Beach Hotel, hari ini.

Katanya, dalam tempoh 63 tahun ini, beliau yakin semua pimpinan DUN telah melakukan usaha yang terbaik di zaman masing-masing bagi membina sebuah badan legislatif negeri yang bersifat Islamik sesuai dengan semangat yang terkandung dalam 'Itqanul muluk bi ta'dil as-suluk'.

“Dan pada masa yang sama ia sedang bergerak dengan lebih demokratik, meraikan suara rakyat dan mempunyai hubungan yang inklusif dengan masyarakat,” ujarnya.

Menurut Yahaya, Fasal 26 dan Fasal 44 Undang-Undang Tubuh Negeri atau Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) adalah jelas memperuntukkan kedudukan dan kuasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan dalam DUN.

“Saya turut merasa bangga buku yang akan dilancarkan ini sebahagian besar kandungannya memuatkan gambar-gambar istiadat keberangkatan DYMM Sultan di zaman pemerintahan baginda masing-masing.

“Termasuk sewaktu setiap kali pembukaan penggal baru persidangan khususnya bagi menyampaikan Titah Ucapan DiRaja, di mana ianya dibahas dan akhirnya diterima oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mencapai halatuju pembangunan negeri ini.

“Kandungan buku ini juga turut memuatkan antara lain sejarah perkhidmatan Yang DiPertua (YDP) dan Setiausaha Dewan selain daripada gambar-gambar bersejarah sidang DUN, sejarah perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan sejarah perkhidmatan semua ADUN dari sidang DUN kali pertama hingga keempat belas,” jelasnya.

Tambah beliau, selain dari sejarah bangunan tempat persidangan DUN, cokmar tanda kebesaran dan pakaian rasmi sewaktu persidangan, ia juga turut memaparkan tulisan oleh tokoh-tokoh akademik mengenai sejarah negeri ini, sejarah perlembagaan negeri, pilihanraya dan institusi DUN serta aktiviti-aktiviti pejabat DUN dan YDP DUN bagi turut memantapkan kerajaan,” katanya.