Pulau Bidong Diwartakan Sebagai Taman Negeri Lindungi Khazanah Biodiversiti
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dalam memacu kelestarian bidang pendidikan dengan peruntukan sebahagian besar dalam Belanjawan 2023.
“Hasilnya, rakyat Beta mengecapi pelbagai kejayaan di dalam bidang pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa usaha dan komitmen daripada semua pihak terutamanya para guru, ibu bapa dan agensi-agensi kerajaan yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan pendidikan di negeri Terengganu kekal berada pada tahap yang terbaik serta cemerlang,” titah Baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam masa sama, Baginda turut menyeru ahli-ahli Dewan Undangan Negeri supaya memperkasakan institusi-institusi pendidikan dan kemahiran yang sedia ada di negeri ini selaras hasrat asal penubuhannya.
Baginda bertitah, program-program pengajian yang ditawarkan perlu mengambil kira perkembangan dan keperluan dalam bidang industri semasa dan akan datang.
“Penerokaan dalam bidang sains dan teknologi menjadikan ianya lebih sempurna apabila digabungkan dengan kurikulum agama berpandukan Al-Quran dan Hadis yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli akademik merangka pelan pendidikan yang lebih komprehensif bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri contoh dalam bidang pendidikan yang ditawarkan,” titah Baginda lagi.
Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru kepada agensi-agensi berkaitan pendidikan termasuk Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (MAIDAM) dan tidak terkecuali syarikat- syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu meneruskan penajaan program-program pendidikan mahupun kerjasama dalam penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya dalam bidang-bidang pengajian yang kritikal serta menepati keperluan semasa industri.