• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Rai Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama Pegawai Tadbir Negeri dan Pegawai Hal Ehwal Islam Negeri Terengganu sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda ke Wisma Darul Iman diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra pada kira-kira jam 8.50 malam.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman,

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah, serta Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri, To' Puan Seri Nor Zaini Abd Latiff.

Turut menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah Yang Dipertua Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham serta pegawai-pegawai tadbir negeri.

Acara dimulakan dengan lagu Selamat Sultan dipersembahkan selepas keberangkatan tiba Baginda ke dalam Dewan Besar pada jam 9.00 malam.

Sultan Mizan seterusnya berkenan memotong pulut kuning sebagai simbolik acara meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda.

Majlis Santapan Malam berlangsung dengan iringan persembahan nyanyian oleh artis kelahiran Terengganu, Aiman Sidek dan Syafiq Farhain.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kumpulan kebudayaan persatuan yang dinamakan Gema TCS.

Di akhir majlis, Baginda berkenan menerima mengadap dan bersalaman dengan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri serta Pegawai-pegawai Hal Agama Islam Negeri.

Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Puteri Daulath Raja berangkat pulang dari Wisma Darul Iman pada jam 10.15 malam.


Tag: