• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Rasmi Jambatan Pulau Poh

HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan berkenan merasmikan Jambatan Pulau Poh, Tasik Kenyir sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 61  baginda di sini, hari ini.

Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 9.00 malam, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan semua paduka anakanda baginda.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman,  serta barisan ahli Exco yang lain.

Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata dengan rekaan bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala melibatkan kos sebanyak RM150 juta telah siap sepenuhnya 24 Oktober 2021.

"Projek ini diserahkan kepada Kerajaan Terengganu pada 22 Disember 2021 dan diuruskan secara sementara oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu .   

"Projek ini juga akan memberikan impak pembangunan ekonomi di kawasan sekitar terutamanya pembangunan di Tasik Kenyir dan Hulu Terengganu," katanya.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan ekonomi setempat.

Tambah beliau, adanya  jambatan ini juga telah memberi peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan dengan penganjuran pelbagai program dan acara pelancongan di kawasan ini.

"Ini termasuk kewujudan perniagaan-perniagaan kecil seperti kiosk-kiosk jualan  di kawasan sekitar sudah pasti akan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan - usahawan di negeri ini," katanya.