• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Rasmi Mercu Tanda Baharu Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan mercu tanda baharu bandar ini iaitu Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Dewan Banquet Tingkat 1 bangunan tersebut hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman serta kenamaan lain.

Sultan dan Sultanah kemudiannya berangkat melawat Pameran Jubli Perak Sempena 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Al Sultan, di aras bawah bangunan tersebut.

Terdahulu Ahmad Samsuri mempersembahkan ucapannya menyentuh latar belakang pembinaan bangunan tersebut.

"Bangunan kompleks pentadbiran MBKT mempunyai 30 tingkat dan merupakan bangunan yang tertinggi di negeri Terengganu.

"Menara ini dibina dengan kos hampir RM200 juta, telah berjaya disiapkan dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 4 Julai 2022 serta memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 14 November 2022.

 “Bangunan ini menempatkan hampir 1,000 kakitangan MBKT serta dilengkapi kemudahan fasiliti sokongan," katanya.

 


Tag: