• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Sultan Mizan Sempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Anakanda


KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat kepada dua anakanda baginda iaitu Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua'az di padang kawad, Rejimen 512 Askar Wataniah, Padang Midin.

Keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Nazir Mami, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Mardzuki Muhammad dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri.


Turut berangkat ke majlis tersebut ialah dua lagi anakanda baginda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra'.

Perbarisan dianggotai pegawai dan anggota dari Rejimen 512 Askar Wataniah yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Batalion Kedua Rejimen 512 Askar Wataniah iaitu Leftenan Kolonel Saifulddin Mahmod.


Acara dimulakan dengan pentauliahan Tengku Muhammad Ismail ke pangkat Leftenan dan ditauliahkan ke Kor Rejimen Askar Wataniah disusuli pentauliahan Tengku Muhammad Mua'az ke pangkat Leftenan Muda dan ditauliahkan ke Kor Rejimen Askar Wataniah.

Pemakaian pangkat telah disempurnakan sendiri oleh Sultan Mizan.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az telah menyertai latihan ketenteraan di bawah latihan Pegawai Sukarela yang bermula pada 6 Ogos lepas dan berakhir hari ini.

Tag: