BESUT, 19 Ogos- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya pengurusan masjid seluruh negeri agar melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam mentadbir 'rumah Allah' itu.
Baginda bertitah bahawa tanggungjawab itu merupakan satu amanah dan perlu diuruskan secara profesional dengan penuh integriti terutama dalam pengurusan kewangan mengikut tatacara selaras Enakmen Hal Ehwal Agama Islam Terengganu serta arahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Beta dimaklumkan terdapat segelintir jawatankuasa masjid yang tidak mematuhi dan sengaja ingkar arahan yang telah dikeluarkan serta ada yang membelanjakan kewangan masjid dengan tidak mengikut tatacara yang betul.
"Beta mengharapkan perkara sebegini tidak akan berulang lagi di masa akan datang. Sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam sebarang tindakan, hendaklah dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) terlebih dahulu," titah baginda.
Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Alor Lintah, di Jertih, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Baginda, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda ke masjid berkenaan turut diiringi yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; DTYM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu serta ahli qariah setempat.
Dalam titah ucapan tersebut, baginda turut berkenan menyeru pegawai, ahli jawatankuasa dan anak-anak mukim masjid untuk berperanan secara bersama bagi memastikan masjid berfungsi sebagaimana sepatutnya sehingga menjadi institusi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat setempat dalam mendepani kehidupan dunia hari ini yang penuh mencabar.
"Masjid yang benar-benar berfungsi bukan sahaja memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat sekitarnya dari aspek kerohanian dan keilmuan bahkan menjadi pusat menyumbang apa-apa keperluan yang bersesuaian kehendak masyarakat terutama qariah setempat," titah baginda.