• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Sultan Mizan Titah Rakyat Jadikan Al-Quran Sahabat Akrab

Tuanku Mizan mahu rakyat akrab dengan al-Quran.
KEMAMAN, 1 Februari - Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah supaya rakyat negeri itu menjadikan al-Quran sebagai amalan harian dan panduan kehidupan.

Baginda turut memetik hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang sebagai syafaat kepada pembacanya.

"Oleh itu, setiap Muslim wajib menjadikan al-Quran sebagai sahabat di dunia untuk kekal menjadi sahabatnya di akhirat," titah Baginda ketika merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, semalam.


Tuanku Mizan yang berkenan hadir bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut menyeru masyarakat supaya meningkatkan kefahaman dalam membaca al-Quran.

"Apa yang lebih penting adalah menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan," titah Baginda.

Dalam majlis tersebut, qari dari Kuala Terengganu iaitu Abdul Hadi Che Abdul Halim serta Qariah Setiu, Nor Hidayah Ab Rahman menggondol gelaran johan pertandingan.

Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.
Johan qari dan qariah negeri Terengganu 2019.
Kedua-dua mereka akan mewakili negeri Terengganu di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan.


Turut hadir mengiringi tuanku ialah Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim  Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan isteri; Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Tuan Faizah Ab Rahman serta exco-exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.



Tag: