• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan, Sultanah Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 22 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Jamuan Teh bersama lebih 3,000 rakyat daerah ini  bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda di Tapak Pasar Pagi Kuala Berang, hari ini.

Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 3.00 petang, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda baginda. 

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman,  serta barisan ahli Exco yang lain.

Majlis bermula jam 3 petang hingga 4 petang itu turut diserikan dengan persembahan alunan muzik, tarian dan nyanyian, selain mempersembahkan buah-buahan tempatan dari daerah Hulu Terengganu.

Meskipun hujan lebat, ia tidak menghalang lebih 3,000 rakyat jelata pelbagai lapisan membanjiri dataran berkenaan dan mengambil peluang bersalaman dengan Sultan Mizan serta Sultanah Nur Zahirah.

Baginda meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat sebelum berangkat pulang pada  4.05 petang.

Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti  kuih-muih, roti jala, pulut dakap, karipap dan mee goreng.