• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan, Sultanah Berkenan Mencemar Duli Hadir Ke Jamuan Negeri

KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Negeri yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.

Mengiringi baginda, Sultanah Nur Zahirah, yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja,Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut hadir mengiringi, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri To' Puan Hajah Nor Zaini Abd Latif dan Pengerusi Majlis Jamuan negeri, Dr Azman Ibrahim 

Selain kehadiran para pegawai tertinggi pentadbiran negeri, para ahli sidang Dewan Undangan negeri, perwakilan pengarah dari pelbagai jabatan serta agensi negeri dan persekutuan turut hadir.

Sebaik sahaja Sultan dan Sultanah Terengganu tiba di Meja Santapan DiRaja dan sebelum bersemayam, lagu 'Selamat Sultan' telah dipersembahkan.

Dalam pada itu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri telah menyampaikan persembahan ucapan kemudian Menteri Besar Terengganu itu bersama isteri, To' Puan Serti Tuan Faizah memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu untuk menyempurnakan acara pemotongan pulut kuning.

Majlis Jamuan Negeri ini juga telah diserikan dengan persembahan daripada artis jemputan terkenal tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip dan Syamel.