• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Pusat Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah

KUALA NERUS, 18 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.

Baginda berangkat tiba di iringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada jam 11 pagi.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Hadir sama menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim serta pegawai daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.

Dalam majlis terbabit, Tuanku dan Sultanah berkenan melawat Kompleks Pentadbiran sebelum menyempurnakan perasmian tersebut.

Tuanku juga berkenan menurunkan tandatangan pada plak digital sebagai gimik pelancaran yang berlangsung di Dewan Perdana.

Susulan gimik tersebut, tayangan montaj perasmian dipersembahkan diikuti majlis santapan.

Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berangkat pulang dari Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah pada kira-kira jam 12.30 tengahari.

Untuk makluman, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah merupakan pusat pentadbiran bagi bandar Kuala Nerus.

Pusat pentadbiran terbabit berkeluasan 187.76 hektar yang menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus serta bangunan guna sama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang merangkumi enam jabatan.

Selain itu, ia juga menempatkan dewan serba guna dan pusat komersial.

Pusat pentadbiran itu dibina bermula Disember 2015 dan siap pada Oktober 2021 sebelum beroperasi sepenuhnya pada Februari 2022.

 

 

 


Tag: