• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pelancaran Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda.

Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az, YAM Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Majlis yang diadakan di Istana Syarqiyyah, Chendering itu turut dihadiri Qari Antarabangsa, Dr Ahmed Nuaina bagi mengalunkan bacaan Al-Quran.

Majlis yang bermula pada jam 10.45 pagi itu berjalan dengan lancar dengan dihadiri sekitar 500 orang tetamu jemputan.

Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin terhasil setelah usaha gigih yang dilakukan oleh pasukan khas selama tiga tahun.

Pasukan khas itu diketuai Penulis Mushaf, Ahmad Zafuan Dato’ Embong bersama empat lagi individu yang terdiri daripada Penulis, Pereka Seni Hiasan dan Pewarna Seni Hiasan Mushaf.

Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah Mushaf Terengganu bukan hanya sekadar penukilan malah ia turut diakui pengkaji kerana mempunyai keunikan serta motivasi atau nilai tersendiri.

“Susunan tulisan lebih kemas dan mewah dengan perada emas selain kaya dengan lorekan seni bina rumah Terengganu yang bermotifkan bunga bungaan.

“Ini menggambarkan nilai tatatertib kehidupan dan budaya bangsa Melayu Terengganu dan menjadi identiti penting Terengganu di Nusantara," titah baginda.

 

 


Tag: