• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sultan Terengganu Sempurnakan Penutup Mahrajan Mualaf

BESUT, 19 Ogos- Sultan Terengganu, DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyempurnakan perasmian Penutupan Mahrajan Amal Islami Mualaf peringkat kebangsaan 2022 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, DYMM Sultanah Nur Zahirah bersama-sama DYTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Dalam majlis berkenaan, baginda turut mencemar duli menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang melalui acara-acara dipertandingkan iaitu Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Syarahan, Azan & Iqamah serta Nasyid. 

Program yang dianjurkan secara dwi tahunan itu disertai semua negeri bertujuan mencungkil bakat saudara Muslim daripada pelbagai etnik dan kaum di negara kita.

Bersempena dengan majlis penutup pada malam itu juga, Sultan Mizan turut berkenan menyempurnakan pemasyhuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur (ILTIM) sebagai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut.

Pemasyhuran itu akan menjadi titik sejarah kerjasama strategik JAKIM selaku agensi penyelaras hal ehwal Islam bersama pihak berkuasa agama Islam Negeri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) khususnya dalam aspek pembangunan modal insan. 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: