• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Terengganu Titah Rakyat Bersatu Bangunkan Negeri

KUALA NERUS, 28 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh rakyat supaya bersatu hati untuk membangunkan negeri dan mempertingkatkan perpaduan.

Sultan Mizan bertitah, sirah Baginda dan para sahabat perlu dijadikan panduan dalam mengamalkan segala ajaran Islam.

“Terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah, terutama berkaitan akhlak Baginda.

“Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Ahzab, ayat 21.

“Baginda seorang yang amat menjaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

“Justeru itu, kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai di kalangan kita di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi,” titahnya.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Keberangkatan Tuanku diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak dari padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.