• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sultan Terengganu Seru Umat Islam Elak Bercakaran Sesama Sendiri


Sultan Mizan berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan perarakan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di  negeri ini mengelak daripada sebarang bentuk percakaran sesama sendiri dan menjauhi amalan hidup berpuak-puak.

Baginda bertitah, kita semua hendaklah mengamalkan sikap terbuka dan bertolenrasi supaya kita dapat hidup aman damai, saling menghormati serta mendapat keberkatan daripada Allah.

“Rasulullah SAW telah meninggalkan kepada kita dengan dua warisan kekal sehingga ke akhir zaman iaitu al-Quran dan Sunnah.

“Justeru beta mahu mengingatkan sekali lagi kepada rakyat, marilah kita sentiasa berusaha ke arah mengembalikan kekuatan ummah melalui iman, ekonomi, ilmu dan perpaduan, sekiranya wujud perbezaan pendapat atau pertelingkahan haruslah segera kembali kepada pentujuk al-Quran dan Sunnah,”titah baginda.


Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu yang bertemakan `Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’ di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda Tengku Fatimatuz Zahra'.

Hadir sama,  Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri To’ Puan Halina Zakaria,  Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong serta exco-exco kerajaan negeri.

Sultan Mizan turut bertitah, baginda berdoa ke hadrat Allah semoga negeri ini sentiasa di dalam kemakmuran, keamanan dan dilindungi daripada apa jua bala bencana huru hara perpecahan serta perkara-perkara yang tidak diingini.


“Dengan ketinggian peribadi dan keluhuran akhlak serta keistimewaan Rasulullah dapat membentuk umat manusia.

“Baginda tidak menggunakan kekerasan bagi membentuk manusia sebaliknya merubah manusia menggunakan pendekatan semangat ukhuwwah, kasih sayang dan sifat prihatin kepada soal kabajikan masyarakat,”katanya.



Tag: