• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultanah Nur Zahirah Berkenan Lawat Hospital Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 22 Jun - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda  diiringi oleh kedua paduka anakanda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut mengiringi baginda, isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman dan isteri Ahli Dewan Pangkuan Diraja, To' Puan Hajjah Azizah Aziz.

Baginda yang tiba di perkarangan hospital pada pukul 9.30 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, serta kakitangan hospital berkenaan.

Baginda meluangkan masa selama satu jam melawat wad bersalin, wad kanak-kanak dan wad psikiatri di hospital tersebut dan menyampaikan cenderamata serta sumbangan kepada pesakit.

Sultanah Nur Zahirah turut berkesempatan mendengar persembahan taklimat oleh Datuk Dr Kasemani mengenai pembangunan HHT.

Baginda kemudian berangkat pulang pada kira-kira jam 11.30 pagi.

Hospital Hulu Terengganu yang mula beroperasi pada tahun 1 Disember 1994 mempunyai kapasiti 105 katil pesakit, lima wad termasuk satu bilik bersalin.

Hospital itu juga mempunyai kakitangan seramai 366 orang, termasuk 25 pegawai perubatan, 133  jururawat, 23 pegawai farmasi dan 38 penolong pegawai perubatan.