• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sungai Tiruan, 'Vaksin' Banjir Di Kemaman

KEMAMAN, 9 Januari – Kerajaan Negeri memohon kerajaan pusat mempercepatkan  kerja-kerja pembuatan sungai tiruan (bypass) agar penduduk yang menghadapi banjir di Kemaman tidak lagi dibelenggu risiko bencana tersebut pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, difahamkan bahawa ‘tender’ akan dikeluarkan pada bulan tiga tahun ini untuk fasa pertama pembinaan.

“Bypass tersebut akan memakan masa selama lebih dua tahun untuk siap daripada Sungai Kemaman ke ‘Floodway’.

“Saya mengharapkan fasa kedua juga dipercepatkan supaya semua air mengalir turun dari Sungai Cerul dan Sungai Air Putih boleh berpecah kepada dua apabila sampai di Kemaman.

“Satu akan menghala ke Sungai Kemaman dan satu lagi arus memasuki Sungai Bukit Kuang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan udara mengenai keadaan banjir di daerah Kemaman dan Dungun, petang semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar.

Tambah Hanafiah, birokrasi perlu dikurangkan bagi mengelakkan berlaku lagi bencana tersebut.

“Banjir hari ini mengulangi banjir pada tahun 2014, namun begitu, saya juga harap mangsa banjir di sini bersabar menerima ujian daripada Allah SWT,” katanya.