• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Suri Rumah Jual Kerepek Sara Suami, Dua Anak

Oleh : Aqilah Mohd Jafri/Nurul Adilatul Akmal/Fatimah Din

MARANG, 16 Februari - Seorang suri rumah mengambil inisiatif menjual kerepek pisang buatannya sendiri bagi menyara keluarga dan suaminya.

Nurul Suhada Mohd, 30, berkata, dia berbuat demikian untuk meringankan beban keluarga selepas suaminya, Ahmad Azmi Ismail, 36, tidak dapat bekerja.

Katanya, mereka hilang mata pencarian selepas Ahmad Azmi disahkan tidak dapat melihat sepenuhnya kerana masalah saraf mata bermula pada tahun 2018.

“Pada mulanya saya berniaga kerepek ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu sekitar 2020 bagi mengisi lapang sahaja,
Namun tidak menyangka ia membawa hasil kepada keluarga kecil saya, sekarang saya masih menjual kerepek itu bergantung kepada permintaan.

“Saya pada awalnya hanya ingin membantu suami yang tidak dapat bekerja ketika itu, tetapi Allah kurniakan rezeki yang lebih untuk kami, dapatlah tampung kami sekeluarga, di samping pendapatan lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Bukit Payong, baru-baru ini. 

Nurul Suhada menunjukkan kerepek buatannya untuk dijual.

Menurut Nurul Suhada lagi, sebagai memenuhi tanggungjawab ketua keluarga, bapa kepada dua anak itu bekerja menjaga tandas awam di Taman Rekreasi Bukit Payong sejak 2021.

“Saya membantu menguruskan dia berulang alik dari tempat kerja ke rumah setiap hari.

"Usai hantar anak-anak ke sekolah, saya hantar Azmi pula ke tempat kerja, begitulah rutin kami setiap hari,” ceritanya.

Tambah Nurul Suhada, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada hasil pendapatannya dan Azmi.

“Kami juga menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara bulanan.

“Tetapi, adakalanya kami juga merasa tersepit dengan kewangan yang ada,” katanya.

Bagi yang berminat untuk membeli kerepek pisang Nurul Suhada boleh menghubunginya di talian 019-3066105.


Tag: