• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

SUTERA 2019 : Kontinjen Kuala Nerus Sasar Emas Acara Bola Jaring, Berbasikal

Kontinjen Kuala Nerus sedia berentap.

Oleh : Izzat Al Qushairi

KUALA NERUS, 3 September – Kontinjen Kuala Nerus meletakkan acara bola jaring dan berbasikal sebagai sasaran utama untuk meraih emas bersempena Sukan Terengganu (SUTERA) 2019 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak Khamis nanti.

Ayah angkat bola jaring dan berbasikal Kuala Nerus, Mohd Shafizi Ismail berkata, kejohanan kali pertama yang akan berlangsung 5 hingga 9 September itu akan dijadikan medan terbaik untuk memperaga kekuatan pasukan dalam dua sukan berkenaan.

Jelasnya, beliau yakin dan percaya dengan perancangan serta latihan rapi, Kuala Nerus mampu mencapai target itu.

“Saya ingin melihat kejayaan anak angkat kami dalam SUTERA tahun ini.

“Kekuatan fizikal dan mental perlu dimanfaatkan untuk memastikan kemenangan dibawa pulang pingat emas ke Daerah Kuala Nerus,” katanya.
Shafizi Ismail (kanan) menerima sijil penghargaan daripada Hishamuddin (tengah)
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bendera, Jersi, Sijil Penghargaan dan Sumbangan Kepada Persatuan Daerah sempena SUTERA 2019 di Dewan Majlis Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Dalam pada itu, menurut Hishamuddin, pihaknya mengharapkan, 196 atlet daerah itu dapat mempamerkan aksi terbaik bagi menjulang gelaran juara keseluruhan sekali gus akan membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000.

Sementara itu, katanya, naib juara pula akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM45,000 untuk dan ketiga RM15,000, selain RM1,000 masing-masing untuk olahragawan dan olahragawati.


SUTERA 2019 Khamis ini bakal menyaksikan pertembungan lapan daerah di Terengganu bagi merebut kejuaraan.

Tidak ketinggalan, atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan yang menjadi kontinjen jemputan turut sama menghangatkan pertandingan.

Atlet bola jaring Kuala Nerus.


Tag: