• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Syamsul Sambut Baik Cadangan Pahlawan Terengganu Difilemkan

KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Pengarah Filem Mat Kilau, Syamsul Yusof menyambut baik cadangan kerajaan Terengganu untuk menerbitkan filem pahlawan Terengganu seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh.

Syamsul berkata dia sangat bersyukur dengan hasrat itu dan beliau akan memberi kerjasama untuk mengangkat pahlawan Terengganu ke layar perak selepas ini.

"Insya-Allah, mungkin akan dibincangkan dengan lanjut, sebabnya terus terang saya sudah semestinya hendak menghasilkan sebuah lagi filem epik," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Harian Metro, pada semalam.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan meneliti dahulu senarai pahlawan-pahlawan tanah air bagi diangkat kisah perjuangan mereka yang suatu ketika dahulu berjuang membebaskan tanah air daripada penjajah British.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata idea menerbitkan filem dua tokoh sejarah Terengganu itu sangat baik serta berupaya membangkitkan kesaran orang Melayu dan Islam.

"Apa salahnya kita melabur dan bekerjasama dengan pengarah terkenal, Syamsul Yusof untuk pembikinan filem mengenai perjuangan ulama dan tokoh sejarah negeri yang berjuang habis-habisan untuk mempertahankan bumi Terengganu daripada penjajah.

"Kita sebenarnya sudah memulakan lebih awal iaitu sekitar tiga tahun lalu memberikan penerangan mengenai sejarah Terengganu yang memfokuskan kepada dua pejuang terbilang berkenaan," ujarnya.