• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Syarahan Umum Martabatkan Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk

KUALA TERENGGANU, 3 November- Kerajaan negeri melalui Institut Kajian Sejarah dan Perundangan Diraja Terengganu (R-TIHiLS) menganjurkan syarahan umum bertemakan 111 Tahun Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang diberi nama Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk telah diperkenalkan pada 2 November 1911 bagi menjaga kedaulatan Negeri Terengganu.

“Hari ini (3 November), usia undang-undang ini telah mencapai 111 tahun satu hari dan syarahan umum yang dianjurkan bertujuan mendedahkan dan memartabatkan kepada umum satu undang-undang yang dijadikan teras pentadbiran Kerajaan Terengganu sehingga kini dengan beberapa pindaan yang dilakukan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Undang-Undang yang digubal ini dapat memberi gambaran tentang kehebatan dan kekuatan daya pemikiran pemerintah terdahulu dalam mempertahankan negeri daripada ancaman musuh dan boleh dijadikan model untuk masa akan datang,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali pada Majlis Perasmian Syarahan Umum 111 Tahun Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, beliau berharap program sebegini akan terus diadakan agar banyak lagi bahan-bahan sejarah didedah dan diketengahkan kepada umum.

“Selain dapat memperkukuhkan jati diri, ianya dapat melahirkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat demi mempertahankan negeri dan negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata R-TIHiLS, anak syarikat Kerajaan Negeri yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2018 dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kajian,  memperolehi, memelihara bahan-bahan pensejarahan dan perundangan yang berkaitan Negeri Terengganu demi memelihara jati diri bangsa dan kedaulatan Negeri Terengganu.