• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Syukor Kampung Boy Tambah Seri Pelancongan Terengganu

Ariffin Deraman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada adik Syukor.
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Syukor Khamis atau lebih dikenali sebagai ‘Kampung Boy’ Terengganu akan menambahkan lagi seri sektor pelancongan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Terengganu sememangnya kaya dengan tempat-tempat  menarik yang sesuai untuk dijadikan pusat pelancongan, ditambah pula dengan kemunculan Syukor Khamis ia pasti akan merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu . 

Jelasnya lagi, suasana dan persekitaran akan ditingkatkan sesuai dengan tempat-tempat pelancongan yang lain tanpa mengubah struktur asal kawasan berkenaan.

"Kita mempunyai pusat-pusat pelancongan yang banyak di negeri Terengganu yang akan kita garap dari semasa ke semasa.

"Alhamdulilah kita mendapat satu tempat yang baru, kebetulan tempat ini dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) saya, insya-Allah kita akan cuba rancang untuk membantu (mengembangkan) lagi tempat dan suasana di kawasan tersebut," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Syukor Khamis.

Turut hadir dalam majlis tersebut, bapa Syukor, Khamis Jusoh serta keluarga.
Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dengan 'Kampung Boy' Terengganu.
Majlis Ramah Mesra Bersama Syukor Khamis ini adalah anjuran bersama MSR Event Management, Duta Ayam, Kambing Guongzhou (KBGZ), TY Hotel, CONTIXPERT, CUCKOO, RIZQ ARGO FARM, FAFA Sweet House dan The Groomerz Barbershop.

Terdahulu, Syukor dan keluarganya mula menjadi tumpuan orang ramai selepas tular kemenangan jurugambar, Nazri Sulaiman.

Gambar yang memaparkan keakraban Syukor bersama kerbau peliharaannya dipilih sebagai Imej Asia 2018 oleh Asia Geographic bagi kategori Jalanan atau Orang Terbaik.






Tag: