• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

T-Team Kecewa, Namun Hormati Keputusan

Pengadil perlawanan bola sepak Piala Malaysia diharapkan lebih bersikap profesional dalam mengadili perlawanan-perlawanan akan datang.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan berkata walaupun pasukannya menunjukkan permainan yang agak baik semalam dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, tapi hanya satu gol sahaja yang disahkan oleh pengadil.

"Semestinya tiada alasan untuk pengadil membatalkan gol kedua T-Team. Tapi itulah, dia sudah membuat keputusan.

"Untuk ke separuh akhir, peluang masih terbuka. Cuma saya nak minta agar pengadil lebih adil dalam mengadili perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Felda FC, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Tambahnya, walaupun kecewa dengan keputusan pengadil perlawanan malam tadi, ianya telah diputuskan dan haruslah dihormati.

Dengan keputusan 1-1, pasukan berstatus kelab tersebut haruslah bekerja lebih kuat untuk layak ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia.

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan malam tadi menyaksikan tuan rumah bermula dengan cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit kedua melalui Mohd Safawi Rasid selepas bijak memanfaatkan hantaran Mohd Nor Hakim Hassan.

Walaupun banyak peluang diperolehi oleh kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama, The Titans terus mempertahankan kubu pertahanan sehingga wisel ditiup.

Bermulanya separuh masa kedua, Felda yang kelihatan lebih bersemangat akhirnya menemui hasil daripada penjaring terbanyak mereka, Francis Forkey Doe pada minit ke-51.

Pada minit ke-70, kekalutan yang berlaku di hadapan gawang pelawat berjaya dimanfaatkan oleh Dilshod Sharofetdinov.

Walau bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil perlawanan Khairulazuan Kidam setelah pemain T-Team didakwa mengasari penjaga gawang pelawat terlebih dahulu.

Suku akhir kedua Piala Malaysia antara Felda dan T-Team akan berlangsung pada 17 September di Stadium Tun Abdul Razak , Jengka.

Tag: