• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tabung Bencana Pertanian Salur RM588 Ribu Kepada 679 Penerima

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Kerajaan negeri  telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM588,000 kepada petani, penternak dan nelayan negeri tersebut yang terkesan akibat banjir dan ribut dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan berbentuk saguhati dari Tabung Bencana Pertanian Negeri itu diberikan kepada 679 penerima sejak tahun lalu.

"Penerima paling banyak melibatkan pemain dalam sektor pertanian iaitu 496 orang dengan sumbangan berjumlah RM301,000 diikuti penternakan RM153,000 (89 penerima) dan perikanan sebanyak RM134,000 (83 orang).

“Banjir, ribut dan kemarau antara bencana sering dihadapi para penternak, petani dan pemain sektor perikanan. Prosedurnya mudah, jika berlaku kerosakan pada tanaman atau ternakan akibat bencana alam, boleh segera buat laporan.

“Petani, penternak dan nelayan boleh buat laporan kepada pejabat pertanian, veterinar dan perikanan di daerah masing-masing beserta gambar kemusnahan untuk pegawai membuat siasatan serta penilaian,” katanya kepada pemberita.

Beliau juga  berkata, bantuan yang diberikan bukan ganti rugi tapi sebaliknya saguhati bagi meringankan beban dengan harapan petani, penternak, nelayan dan pengusaha ikan sangkar ini dapat membeli benih, baja atau keperluan lain untuk bangkit semula dalam bidang masing-masing.

Tambah Dr Azman lagi, susulan banjir gelombang pertama yang telah berlaku baru-baru ini, pihaknya ada menerima beberapa permohonan bantuan dari petani dan penternak terjejas akibat bencana tersebut.

"Setiap permohonan akan diproses oleh jabatan berkaitan sebelum diserahkan kepada urusetia bencana pertanian negeri untuk dinilai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Negeri Terengganu," ujarnya.