• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tabung Haji 'Turun Padang' Santuni Pelanggan

SETIU, 12 Februari -Tabung Haji (TH) Cawangan Setiu 'turun padang' santuni pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan seperti di kaunter.

Pegawai Pentadbiran Tabung Haji Cawangan Setiu, Zurina Ismail berkata, usaha berkenaan bagi memudahkan orang ramai terutama yang berada di kampung-kampung untuk berurusan dengan Tabung Haji dan meminimakan kos ke pejabat.

"Kita bekerjasama dengan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam membuat hebahan dan makluman kepada penduduk untuk bersama pada program hari ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Balairaya Kampung Mangkok.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah, pembukaan akaun, pendaftaran THiJari (perbankan secara atas talian), simpanan dan kemaskini maklumat.

"Kita akan terus adakan program sebegini dari semasa ke semasa dalam memudahkan urusan pelanggan-pelanggan Tabung Haji," tambahnya.