Tabung Kemanusiaan Turkiye Lepasi Sasaran RM500,000

KUALA NERUS, 6 Mac - Tabung kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' setakat hari ini dijangka akan melebihi sasaran RM500,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan kutipan berkenaan akan terus bertambah.

"Insya-Allah kita akan melihat jumlah sebenarnya selepas 15 Mac nanti, setakat hari ini telah dapat mengumpul lebih daripada setengah juta dan kita mengharapkan dalam beberapa hari lagi yang masih berbaki ini jumlahnya akan terus bertambah.

"Sekarang ini kita masih lagi dalam proses mengutip dana daripada semua pihak termasuk jabatan, agensi kerajaan dan swasta serta anak-anak syarikat kerajaan negeri serta orang ramai.

"Dengan jumlah ini kita telah pun melebihi sasaran yang pada awalnya dianggarkan jumlah kutipan RM500,000 dan kita anggap ini sebagai bonus, menandakan keprihatinan serta solidariti rakyat Terengganu terhadap rakyat Turki yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melancarkan pasukan ketiga yang ditubuhkan Aid4Turkiye & Syria, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LMTS), di sini hari ini.

Mengulas mengenai delegasi yang diketuai Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, Wan Sukairi berkata ia akan turut disertai oleh 11 doktor pakar dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malysia (PAPISMA), Warga Cakna dan beberapa NGO lain yang akan menghantar misi bantuan perubatan.

"Pasukan ini akan turut dibantu oleh sukarelawan dari Dewan Ulama dan Dewan Muslimat PAS Pusat, Liputan Media pula akan dibantu daripada Kelab Aktivis Media Insipirasi (KAMI) dan Radio Penyiaran Manis FM," ujarnya.

Dalam pada itu menurutnya, delegasi kerajaan negeri akan ke Turkiye pada 17 Mac hadapan yang akan diketuai olehnya sendiri.

"Saya turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan gempa bumi Turkiye-Syria ini untuk terus sama-sama bersolidariti dengan menyumbang ke Tabung bantuan mangsa gempa bumi melalui Sekretariat Aid4Turkiye&Syria ini.

"Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Sejagat Relief yang bernombor : 12122010040554 (Bank Islam Malaysia Berhad),"ujarnya lagi,