• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

Tabung ‘Terengganu For Yemen’ Kutip RM1.2 Juta



KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kerajaan negeri melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) setakat ini berjaya mengumpul RM1.2 juta bagi Tabung Terengganu For Yemen untuk disalurkan kepada negara Yaman sebagai tanda prihatin terhadap rakyatnya yang berhadapan krisis kemanusiaan akibat peperangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, walaupun jumlah berkenaan belum mencapai sasaran, melihatkan kepada solidariti rakyat Terengganu, pihaknya yakin mampu mengumpul kutipan yang disasarkan sebanyak RM1.6 juta sebelum para sukarelawan Misi Kemanusiaan Yaman 2020 berlepas ke negara itu pada 5 Mac nanti.

“Alhamdulillah, sejak tabung ini dilancarkan pada 21 Januari lalu, dalam tempoh sebulan sahaja jumlah kutipan yang berjaya diperolehi amat memberangsangkan.

“Saya difahamkan sukarelawan Terengganu T-Volt turun ke pasar-pasar malam dan tempat tumpuan untuk mengumpulkan dana ini, tahniah kepada UBSNT dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain kerana bersama-sama dengan kerajaan negeri menyatakan solidariti terhadap kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara kita di Yaman,” ujarnya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Dana ‘Tabung Terengganu For Yemen’ Sempena Misi Kemanusiaan Yaman 2020 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abdul Razak.

Mohd Nor berkata, krisis yang berlaku di Yaman menyaksikan berjuta-juta rakyatnya hidup dalam kemelaratan serta kehabisan sumber makanan dan ubat-ubatan.

“Lebih menyayat hati, mereka kini berhadapan dengan tragedi kerakusan tangan manusia termasuk konflik bersenjata berat yang dahsyat, kebuluran dan malnutrisi serta penularan wabak kolera, difteria dan bermacam lagi,” ujarnya.


Dalam pada  itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat negeri ini khususnya agar terus menghulurkan sumbangan yang termampu untuk meringankan kesengsaraan rakyat Yaman.

"Diharapkan sumbangan dari orang ramai akan berterusan kerana selagi konflik di Yaman tidak berakhir kita akan sedaya upaya membantu dari semasa ke semasa.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, masjid, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), anak syarikat kerajaan negeri (GLC), syarikat swasta, NGO serta orang ramai yang turut sama memberikan sumbangan untuk Tabung Terengganu For Yemen yang pertama kali dianjurkan oleh kerajaan negeri ini.

“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati semua penyumbang selain dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan seharian,” ujarnya.

Tag: