• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tahajud Kunci Kejayaan Tokoh Pelajar Cemerlang

KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Istiqamah mendirikan solat tahajud menjadi kunci kejayaan dua pelajar yang mendapat Anugerah Tokoh Ulul Albab dan cemerlang menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Muhammad Hidayatuliman Che Mohamad Zulkifly,18, bersyukur di atas kejayaan yang diperolehi dan berterima kasih kepada ibu bapa serta rakan-rakan kerana membantunya mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

“Kita mestilah pandai membahagikan masa belajar dengan aktiviti lain dan hendaklah ‘work smart’ ketika belajar supaya memperolehi hasil yang memberangsangkan.

“Di samping itu, semua perkara yang kita lakukan hendaklah secara istiqamah dan amalan istiqamah yang saya lakukan adalah solat sunat tahajud, hajat dan istikharah kerana hidup ini setiap perkara adalah pilihan yang baik mahupun buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu bertempat di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu semalam.

Bagi Anis Nafesa Alias,18, beliau bersyukur serta gembira kerana dapat membawa ibu dan kakaknya untuk naik ke atas pentas menerima Anugerah Tokoh Kecemerlangan Ulul Albab tersebut.

“Sistem belajar saya bermula daripada tingkatan satu iaitu sentiasa mempelajari dan membiasakan diri untuk mempelajari sesuatu yang baru.

“Amalan istiqamah yang saya lakukan melalui tunjuk ajar daripada guru-guru saya iaitu setiap pagi sebelum mempelajari sesuatu yang baru mesti memperbetulkan niat.

"Selain itu, dengan mengamalkan solat sunat dhuha, tahajud dan hajat secara istiqamah," katanya.

Ibunya, Nor Haslida Mohamad, 54, turut melahirkan rasa syukur di atas kejayaan anaknya dan merasakan berbaloi dengan usaha anaknya selama ini yang sentiasa mengutamakan pelajaran berbanding dengan perkara lain.

 

 


Tag: