• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tahap Kualiti Perkhidmatan Awam Terengganu Terhadap Kepuasan Pelanggan Sederhana

KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Tahap kualiti perkhidmatan terhadap kepuasan pelanggan di jabatan mahupun agensi kerajaan masih di tahap sederhana.

Ketua Pusat Pengajian (Sains Kejururawatan), Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Madya Dr. Zainab Mohd Shafie berkata, dapatan itu berdasarkan Kajian Tahap Kualiti Perkhidmatan Terhadap Kepuasan Pelanggan Di Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuainya bersama tiga rakan penyelidik.

Menurut beliau, keseluruhan kajian mendapati bahawa kualiti perkhidmatan dalam kajian ini adalah sederhana. 

“Pihak jabatan perlu sedar masih lagi terdapat aspek lain yang perlu diperbaiki dari masa ke masa kerana masih wujud jurang antara perkhidmatan yang ditawarkan dengan persepsi pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan yang sepatutnya diterima,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian tersebut sempena Program Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera dan Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 di Duyong Marina, semalam.

Katanya, hasil laporan kajian tersebut juga mendapati, masih banyak rungutan terhadap penyampaian kualiti perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memenuhi jangkaan pelanggan dan akan mempengaruhi tahap kepuasan pelanggan. 

Katanya, kepuasan pelanggan merupakan isu penting dan kritikal bagi menjamin kejayaan sesebuah organisasi perkhidmatan. 

“Malah kualiti sesuatu perkhidmatan adalah suatu proses berterusan untuk mengekalkan hubungan antara sesebuah organisasi perkhidmatan dengan pelanggan,” ujarnya.

Justeru katanya, kajian ini membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan merupakan strategi perkhidmatan yang penting bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disediakan.