• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tahniah Terengganu, 321 Calon SPM Dapat Semua A!

KUALA TERENGGANU, 16 Jun- Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.

Katanya, beliau sedia maklum bahawa calon SPM tahun 2021 berdepan cabaran yang cukup hebat memandangkan ketika peperiksaan kali ini situasi negara dan dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya dengan cemerlang.

“Pelajar yang mengambil SPM 2021 diuji dengan cabaran yang getir, namun alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak, cabaran itu berjaya diharungi pelajar.

“Terima kasih kepada ibu bapa dan guru yang berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan termasuk usaha berlipat-ganda ibu bapa dan guru yang dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pengistirafan Keputusan SPM di SMA (A) Sultan Zainal Abidin, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Terengganu, Lothman Awang.

Terdahulu, laporan Sinar Harian memaklumkan, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Terengganu yang diumumkan hari ini merekodkan seramai 321 pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, daripada jumlah itu, tujuh pelajar mencatatkan keputusan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil semasa peperiksaan SPM 2021 pada Mac lalu.

Menurut beliau, Terengganu juga merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2021 adalah 4.72 berbanding GPN kebangsaan iaitu 4.86.

"Seramai 17,206 calon mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2021 di 169 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu melibatkan 1,717 petugas," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, di sini.

Abdul Muie berkata, seramai 9,674 calon memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diambil.

Selain itu katanya, lapan sekolah turut mempamerkan keputusan baik apabila semua calonnya lulus semua mata pelajaran.

Lapan sekolah itu kata beliau adalah SM Sains Kuala Terengganu, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Sultan Mahmud, SM Sains Dungun, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kemaman, SM (Atas) Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling.

"Calon SPM 2021 merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Terengganu berjaya merekodkan keputusan cemerlang.