• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tak Lokek Kongsi Ilmu Kunci Kejayaan Nadhirah

KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Tidak lokek berkongsi ilmu dengan rakan-rakan menjadi kunci pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) mendapat 10 A+ dalam SPM 2021.

Nurul Nadhirah Husna Shahmuzir, 18, bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan guru kerana sentiasa memberi sokongan serta dorongan.

"Antara kunci kejayaan saya adalah sentiasa berkongsi ilmu dengan rakan-rakan seperti mengajar mereka dalam pelajaran, kerana melalui kaedah itu kita akan menguasai lebih lagi sesuatu ilmu.

"Setiap hari walaupun cuti jangan tinggalkan membaca al-Quran kerana ia penting untuk membentuk rohani kita ke arah yang lebih baik dan memudahkan lagi untuk ilmu masuk ke dalam diri kita," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertempat di SMAASZA Batu Buruk di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Sementara itu, Muhammad Hanif Hishamuddin, 18, turut melahirkan rasa syukur kerana penat lelah sepanjang belajar pada musim pandemik Covid-19 berhasil memberi kejayaan dalam hidupnya.

"Sentiasa mengulangkaji dan menyiapkan kerja sekolah kerana melalui itu kita akan mendapat keberkatan seterusnya berjaya dalam peperiksaan.

"Kunci kejayaan saya ialah menghormati ibubapa dan guru kerana itu adalah sangat penting untuk mendapat restu daripada mereka," katanya.

 


Tag: