• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tak Perlu Risau Bercuti Di Pulau Perhentian

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober- Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menasihatkan orang ramai agar tidak perlu bimbang untuk bercuti di Pulau Perhatian susulan tular isu pelancong yang dilaporkan jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di pulau itu.

Katanya, hasil siasatan mengenai kes tersebut dijangka akan diketahui dalam tempoh kira-kira sebulan lagi.

“Sehingga hari ini tiada masalah besar untuk mereka (pelancong) yang ke Pulau Perhentian, Insya-Allah dari segi kemudahan infrastruktur kerajaan negeri akan selesaikan secara berperingkat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu tersebut pada Sidang Media Karnival Jom Heboh Edisi Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar dan agensi terlibat lain masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha hotel, resort dan chalet di Pulau Perhentian serta Pulau Redang jika mereka didapati membuang kumbahan secara bebas.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia boleh memberi kesan kepada industri pelancongan pada masa akan datang,” jelasnya.