• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tak Perlu Risau Cari Duit Rawat Anak Demam

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - “Alhamdullilah dengan Kad Sejahtera ini, tidak lagi perlu susah cari duit hantar anak demam ke klinik swasta," luah seorang bapa, Hasim Salleh, 55, yang juga salah seorang daripada 493 penerima Program Kad Sejahtera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, baru-baru ini.

Bapa kepada lima orang anak yang berasal dari Kampung Pengkalan Arang berkata, sebelum ini apabila anak-anaknya demam atau sakit, dia terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan.

“Tambah lagi bila klinik kerajaan penuh dengan orang ramai dan terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan rawatan anak.

“Tapi alhamdullilah, dengan kemudahan ini ia memberi kesenangan untuk keluarga saya dan saya sendiri, sakit ringan-ringan sekalipun tidak perlu susah lagi berurusan dengan klinik kerajaan,” katanya.

Hasim berkata demikian semasa ditemubual pemberita selepas  Penyerahan Kad Sejahtera bagi fasa kedua Peringkat DUN Bukit Tunggal oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat di rumahnya, kelmarin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, sebanyak 25 JPKK di kawasannya akan memainkan peranan dalam mengagihkan kemudahan tersebut supaya tiada golongan memerlukan akan tercicir.

“Baucer rawatan kesihatan percuma di klinik swasta terpilih tersebut adalah untuk mereka yang memerlukan rawatan awal dan segera.

“Pihak kerajaan juga akan menambah lagi klinik-klinik swasta berdaftar supaya jaringan kemudahan ini luas, memberi kemudahan kepada rakyat,” jelasnya.

Untuk rekod, Program Kad Sejahtera kepada rakyat berpendapatan rendah dan miskin tegar merupakan salah satu janji terkandung dalam manifesto pada Pilhan Raya Umum (PRU) Ke 14 PAS Negeri Terengganu yang lalu.


Tag: