'Tak Sabar Sambut Raya Pakai Baju Baru'

HULU TERENGGANU, 6 April - Seramai 300 pelajar yang menerima sumbangan baju raya dan wang tunai RM200 di sini meluahkan rasa tidak sabar untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sumbangan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az, YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.

Nurul Syazwani Batrisya Adenan,15, berasa amat bertuah dan gembira kerana dipilih menerima bantuan Aidilfitri pada hari ini.

Dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas bersama dengan lima lagi rakannya bertolak ke tapak program seawal jam 7 pagi.

“Kami sampai pada jam 7.30 pagi dan berasa amat teruja kerana pertama kali dapat melihat anak raja depan mata kami,” katanya selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 Daerah Hulu Terengganu bertempat di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Nurain Khasyifa,11, meluahkan rasa tidak sabar untuk menyambut hari raya Aidilfitri pada tahun ini kerana ingin memakai baju raya yang diperolehinya pada hari ini.

“Harapan saya agar program ini berterusan bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan menyambut Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat dan pemberian ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.

 


Tag: