• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tak Sangka YB PAS Penuhi Impian Peneroka Miliki Tanah

SETIU, 14 Jun - 124 anak peneroka Felda Selasih Mukim Jabi tidak menyangka penantian mereka untuk memiliki tanah yang diusahakan keluarga sejak 15 tahun lalu akhirnya ternoktah semalam, selepas kerajaan negeri di bawah PAS menyelesaikan isu tersebut.

Salah seorang penerima, Mohd Ridzuan Kadir sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah merealisasikan impian mereka.

Katanya, tanah tersebut sudah lama diusahakan keluarga mereka namun urusan pemilikan gagal diselesaikan pihak terdahulu.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada pimpinan kerajaan hari ini  atas usaha untuk memastikan kami mendapat geran hak milik tanah.

"Peristiwa hari ini sangat bersejarah, kami tidak menyangka penantian selama 15 tahun berakhir juga," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Undian Lot RTB felda terbabit semalam.

Sementara itu, Wan Yahya bin Salleh, 75, yang merupakan peneroka generasi pertama mengakui pemberian itu cukup bermakna.

Dia yang mewakili anaknya berkata, kesabaran selama berpuluh tahun ternyata berbaloi apabila kerajaan Terengganu mengotakan janji mereka.

“Penantian saya selama 38 tahun ini membuahkan hasil kerana pintu untuk dapat hak milik tanah yang selama ini ditunggu-tunggu berakhir.

“Proses untuk mendapatkan tanah ini agak sukar, namun ketua kampung dan pihak yang terlibat bekerja keras memudahkan urusan terutamanya kerajaan negeri sekarang,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kelulusan RTB Felda Selasih merupakan satu kejayaan bagi keluarga peneroka setelah penantian puluhan tahun.

“Hari ini menjadi satu catatan sejarah buat warga Felda Selasih dalam usaha kita menyelesaikan isu tapak rumah bagi generasi kedua Felda setelah melalui satu proses yang agak sukar dengan Akta GSA (Kawasan Penempatan Tanah) sehingga mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri. 

“Selepas daripada proses undi lot ini, kita akan agihkan Jadual 5A dalam masa dua minggu insya-Allah sebelum pemilik boleh membuat bayaran premium tanah,” katanya.

 

 


Tag: