• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Takiyuddin Ketuai Konvoi 300 'Mat Motor' Di Terengganu

KUALA NERUS, 11 Disember - Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama sekitar 300 anak muda melakukan konvoi bermotosikal dari Dataran Muzium Negeri Terengganu ke Kompleks Sukan Negeri Terengganu sempena sambutan Ulang Tahun ke-70 Parti Islam SeMalaysia, hari ini.

Beliau memuji aktiviti berkenaan dikendalikan Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Alternative Riding Club (ARC) Malaysia itu sebagai salah satu acara terbaik yang disenaraikan sempena sambutan tersebut.

"Bagi pihak PAS Pusat, saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda kerana berjaya mendapatkan penyertaan difahamkan lebih 300 buah motosikal berarak dengan kerjasama baik pihak Polis. Ini menunjukkan PAS disertai oleh semua generasi, serta mendapat sambutan dan penyertaan golongan muda.

"Ini perkembangan yang amat baik bagi PAS sebagai parti tertua di negara kita, yang ditubuhkan sebelum merdeka lagi.

"Secara peribadi, saya mengharapkan Pemuda PAS dapat memperbanyakkan lagi kegiatan seumpama ini seperti berbasikal, berkuda dan sebagainya kerana inilah aktiviti yang boleh mendisiplinkan anak muda kita dengan aktiviti sihat," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Gong Badak, hari ini.

 

 

 

 


Tag: