• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Talian Hotline Mudahkan Agihan Air Kepada Penduduk Uzur

SETIU, 29 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menyediakan talian ‘hotline’ bagi memudahkan operasi pengagihkan bekalan air bersih kepada golongan tidak berkemampuan.

Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya memfokuskan penghantaran bekalan asas itu buat golongan sasar seperti Orang Kurang Upaya (OKU), menjalani kuarantin, warga emas dan individu uzur.

“Mereka ini tidak mampu untuk keluar rumah bagi mengambil air, jadi ini diharapkan mudahkan mereka di lebih 40 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terkesan.

“Bagi golongan dalam kategori tersebut boleh hubungi di talian di 0149650227 (Izzat) atau 01140275425 (Fadil),” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air mineral di Kampung Bukit Chempaka, pagi tadi.

Dalam pada itu, Mohd Shafizi turut memaklumkan tiga Unit Daerah Mengundi (UDM) di kawasannya akan menerima bantuan air mineral dalam kotak.

Jelasnya, ia sebahagian daripada bantuan segera sebanyak RM1.25 juta seperti mana diumumkan Menteri Besar.

“Pagi ini kita menerima lima lori treler bagi kawasan terlibat antaranya Bukit Cempaka, Padang Kemunting dan Darat Batu Rakit, ia akan salurkan pada 12 JPKK pada peringkat ini dengan dua karton setiap rumah.

“Selebihnya rumah kita akan agihkan secara berperingkat dengan jumlah lima karton satu rumah, selain itu, pihak kami turut sediakan lebih 100 tangki statik (3 tangki setiap JPKK) dan para petugas disini bergerak pada 9 pagi sehingga lewat 2 pagi,” tambahnya.