• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Talib Tokoh Maal Hijrah Terengganu

Sultan Mizan berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Talib. Foto: Tengku Syamim Tengku Ismail



Pengawai Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Talib Abdul Rahman, 65 dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah  1440 pada majlis sambutan Maal Hijrah  Peringkat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan anugerah kepada Talib yang membawa pulang wang tunai RM10,000, tajaan umrah bernilai RM10,000, set persalinan RM500, piala dan sijil penghargaan.

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Speaker DUN Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' A Rahman.
Talib yang dilahirkan pada 1 Januari 1953 berasal dari Kampung Cham Kemboja berhijrah ke Malaysia pada 1977 sebelum mendapat taraf penduduk tetap beberapa tahun selepas itu.

Banyak bakti beliau kepada masyarakat di negara ini khususnya Terengganu, termasuk pernah menjadi panel penggubal Peristilahan bahasa dan kesusasteraan Arab Dewan Bahasa dan Pustaka.

Di peringkat negeri, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam),AJK penasihat Zakat Maidam dan AJK Panel penulisan kutbah.

Kini Talib merupakan salah seorang AJK Fatwa Negeri Terengganu.

Pada majlis sama yang bertemakan Menyantuni Ummah Membawa Rahmat itu turut menganugerahkan Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar, Kuala Terengganu sebagai masjid kerajaan terbaik dan masjid mukim terbaik pula dimenangi Masjid Islah, Kampung Limbongan, Besut .

Anugerah lain, keluarga mithali dinobatkan kepada keluarga Haron Yusof, keluarga tunggal  (Hasnah Sulong), saudara kita (Noorazman Lua @Lua Boon) dan  Orang Kurang Upaya cemerlang  dimenangi Anjang Ali .


Tag: